Ahad, 6 September 2009

ORANG YANG WAJIB IMSAK

Orang-orang yang berikut dibawah ini adalah diwajibkan imsak, yakni menahan diri daripada makan minum waktu siang hari pada bulan ramadhan, sekalipun mereka itu dikira tidak mengerjakan puasa:

1) Orang yang meninggalkan puasanya dengan sengaja.
2) Orang yang meninggalkan berniat puasa pada waktu malamnya.
3) Orang yang kesiangan pada makan sahurnya.
4) Orang yang berbuka kerana menyangkakan masuk matahari rupa-rupanya masih siang.
5) Orang yang menyangkakan 30 Sya'ban, kemudian ia mengetahui telah masuk satu ramadhan.
6) Orang yang berlebih-lebihan pada berkumur-kumur dan masuk air ke dalam hidungnya.

Orang-orang yang tidak wajib imsak:

1) Kanak-kanak yang hampir baligh.
2) Orang gila ketika sembuh.
3) Orang kafir pada ketika masuk Islam.
4) Orang yang dalam perjalanan (musafir) ketika sampai ke tempat yang dituju.
5) Orang yang sakit pada ketika sembuh.

Baca Seterusnya- sila klik di sini

Rabu, 26 Ogos 2009

KESALAHAN MINUM ARAK

Isu hukuman sebat kepada pesalah minum arak telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk memberikan pandangan dan komen masing-masing.
Hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (pindaan 1987) sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Apabila asasnya adalah nas, maka ia adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya – kerana ia berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 hingga 80 rotan jumlahnya. Mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.

Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah diharamkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam. Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam. Haramnya arak adalah tidak mengira tempat – sama ada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.
Menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya – adalah seumpama menghadapi nyamuk Aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi!

Baca Seterusnya- sila klik di sini

Sabtu, 15 Ogos 2009

TAYAMMUM

Minggu lepas, saya ke Pandan Indah - menziarahi sahabat saya kemalangan jalanraya. Saya dapati kaki beliau cedera
Tiba waktu solat, beliaupun ke bilik air untuk mengambil wuduk. Peliknya semua anggota wuduknya basah kecuali bahagian kakinya yang luka tadi. Belum sempat saya bertanya beliau meminta saya mengaambil debu tanah yang telah disediakan oleh ibunya.
Tanpa bercakap panjang, sayapun ambil dan debu tanah yang diminta tadi tu lalu disapu pada bahagian kaki yang tak kena air tadi.
Saya tertanya pada diri sendiri " Seandainya beliau tak boleh basuh kaki ketika berwuduk kenapa tidak je beliau bertayammum dari awal lagi. lkenapa perlu dicampur aduk antara wuduk dan Tayammum?

Untuk mengetahui cara bertayammum-sila klik disini
Bukankah tayammum dengan menyapu muka dan tangan tu dah menyamai dengan menyapu muka, tangan, kepala dan kaki di dalam wuduk.

Keduanya yang saya tahu anggota tayammum itu dua sahaja iaitu muka dan tangan. Adapun rukun tayammum tu ada empat iaitu niat,keduanya menyapu muka, ketiga sapu tangan dan akhir sekali tertib. Menyapu kaki tak masuk dalam rukunpun kenapa pandai-pandai nak bertayammum dengan menyapu kaki dan setahu saya kaki bukanlah dari anggota tayammum.

Pelik juga ya? Saya tak tahu dari sumber mana yang dia dapat.

Satu perkara lagi- kita tak boleh mengatakan yang dia ni berwuduk kerana dia tidak membasahkan kakinya sedangkan membasuh kaki adalah perkara rukun dalam berwuduk dan seandainya ditinggalkan perkara yang rukun ini( basuh kaki ) maka tidak sah wuduk.

Kalau dikira tindakan ini atas tiket tayammum pun tak kena juga sebab anggota dan rukun tayammum itu ialah muka dan tangan. Menyapu kaki bukanlah perkara rukun dalam tayammum sedangkan yang rukun dalam tayammum (menyapu muka dan tangan ) telah ditinggalkan. Kalau wuduk bukan , Tayammumpun bukan - jadinya apa ya?

Sebab itulah dalam perkara ibadat kita tak boleh main-main. Dalam soal ibadat perlu kepada dalil dan kefahaman Feqah yang mendalam. Tak boleh suka-suka hati nak tokok tambah

Samada wuduk mahupun tayammum kedua-duanya berkaitrapat dengan ibadat kita seharian. Jika Wuduk kita tak sah maka tak sahlah solat kita. Oleh itu nasihat saya supaya kita jangan memandang remeh masalah bersuci ini samada dengan berwuduk ataubertayammum.
wallahu'alam

Baca Seterusnya- sila klik di sini

Isnin, 3 Ogos 2009

EHWAN DAN 100 EKOR AYAM

Pada suatu hari ada seorang lelaki kaya ingin mengadakan kenduri untuk anaknya
Untuk itu dia ke bandar untuk membeli ayam dikedai Pak Romee.Lelaki kaya: "Saya ingin memesan 100 ekor ayam untuk esok, ini alamat saya (seraya memberikan kadnya).
Pak Romee: "Baik tuan, saya akan suruh anak buah saya untuk menghantarkannya kerumah tuan."

Selepas itu, Pak Romee memanggil anak buahnya yang bernama Ehwan Afendi dan memberikan arahan "Wan, tolong hantar 100 ekor ayam esok ke alamat ini (sambil memberikan kad lelaki kaya tadi).

"Ehwan : "hantar ayam? Beres Tuan ! "

Esoknya dengan menunggang motor si Ehwan pergi menghantar 100 ekor ayam tersebut. 50 ekor diletakkan di sebelah kanan dan 50 ekor lagi diletakkan di sebelah kiri.

Malangnya, di tengah perjalanan, dia terjatuh dari motor , ayam-ayam yang dibawa terlepas dan lari bertempiaran. Orang ramai datang untuk mengetahui keadaan si Ehwan. Tetapi si Ehwan tidak apa2 malah ketawa terbahak-bahak.

Seseorang di antara mereka merasa khuatir melihatkan gelagat si Ehwan lalu bertanya, - "Bang, abang tak apa-apa kan... ? Kepalanya tak sakit kan?"

Ehwan : "Ha... ha... ha... !" - terus ketawa terbahak bahak
Pemuda yang bertanya : "Bang, Bang kenapa ni bang ?"
Ehwan: "Ha... ha... ha... , dasar ayam-ayam bodoh, kau nak lari ke mana? bukankah alamatnya ada kat aku... Hua.. ha.. ha.. ha... .."

Jadi disini --siapa yang bodoh ni ?" Ayam atau Ehwan ? Fikir -fikirkanlah sendiri yek

Baca Seterusnya- sila klik di sini

PEMBUBARAN PERKAHWINAN

Terdapat beberapa jenis pembubaran perkahwinan di dalam Islam.
1. Talaq.
2. Fasakh.
3. Khul`
4. Ta`liq
5. Li`an

>> 1) TALAQ

Talaq dari segi bahasa bererti melepaskan ikatan.

Dari segi syara‘ ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz talaq atau seumpamanya.

DALIL HARUS TALAQ

Firman Allah subhanahu wata‘ala:

Maksudnya:
“Cerai (talaq) itu dua kali, selepas itu peganglah isteri kamu (ruju‘ dan kekallah) dengan cara yang baik atau lepaskanlah dengan cara yang baik.”
(Surah Al-Baqarah, 2:229)

Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anh yang bermaksud:

“Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah menceraikan isterinya Hafsah kemudian Baginda meruju`nya semula.”
(Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

HUKUM TALAQ

Hukum menjatuhkan talaq pada asalnya diharuskan dalam Islam, tetapi ia akan berubah menjadi:

1. Wajib: Setelah rumahtangga itu gagal diperbaiki dengan keputusan hakim atau suami telah bersumpah untuk menceraikan isterinya.

2. Haram: Menceraikan isteri semasa isteri di dalam waktu haidh atau ketika suci tetapi baru disetubuhi.

3. Sunat: Jika suami tidak dapat menyempurnakan nafkah batin.

4. Makruh: Boleh menjadi haram jika menceraikan isteri tanpa sebab yang munasabah.

Islam menetapkan hanya suami sahaja yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan talaq. Walaubagaimanapun, isteri juga diberikan hak untuk memohon cerai dengan cara fasakh atau khul‘ (tebus talaq).

PEMBAHAGIAN TALAQ

Talaq terbahagi kepada dua jenis iaitu:

1. Talaq raj‘i, iaitu talaq yang boleh diruju‘ kembali tanpa perlu akad nikah iaitu ketika isteri dalam waktu ‘iddah (sebelum tiga kali suci daripada haidh).

2. Talaq ba’in, ia terbahagi kepada dua:

a) Ba’in sughra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ oleh suami kecuali diadakan akad nikah semula iaitu perceraian sama ada melalui fasakh, khul‘ atau talaq isteri yang belum disetubuhi.

c) Ba’in kubra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ kembali dengan cara biasa melainkan setelah syarat berikut dipenuhi:
i. Setelah selesai ‘iddah si isteri.
ii. Bekas isteri berkahwin dengan suami lain.
iii. Suami lain menyetubuhi bekas isteri itu dan berlaku perceraian.
iv. Selesai ‘iddah dari suami yang lain itu.

>> 2) PENGERTIAN FASAKH


Fasakh ialah membatalkan atau melepaskan akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.

SEBAB FASAKH
Antara sebab yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh ialah:
1. Sebab yang merosakkan akad.
a) Isteri termasuk dalam golongan orang yang haram dikahwini sama ada sebab keturunan, susuan atau persemendaan atau bekas isteri yang dalam tempoh ‘iddah talaq suami pertamanya.
b) Pernikahan yang dilakukan semasa belum baligh (kecil) dan apabila baligh minta difasakhkan akad itu.
2. Sebab yang mendatang selepas pernikahan.
a) Salah seorang daripada suami atau isteri itu murtad.
b) Pasangan suami isteri bukan Islam semasa bernikah dan salah seorang memeluk Islam.
c) Suami telah melakukan salah satu perkara yang diharamkan sebab persemendaan seperti berzina dengan ibu mertua.

>> 3) KHUL‘ (TEBUS TALAQ)

Khul‘ dari segi bahasa bererti melepas atau menanggalkan.
Manakala dari segi syara‘ pula ialah perceraian daripada suami ke atas isteri dengan tebusan yang diterima oleh suami.
Contohnya suami berkata “Aku talaqkan kamu dengan bayaran sekian banyak” atau isteri berkata: “Aku menebus talaq ke atas diriku dengan bayaran sekian banyak”.

DALIL PENSYARI‘ATAN KHUL
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya: “Talaq (yang boleh diruju‘ kembali) hanya dua kali. Sesudah itu peganglah (ruju‘) atau lepaskan (cerai) dengan cara yang baik. Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri yang kamu ceraikan) kecuali jika keduanya takut tidak dapat menegakkan peraturan-peraturan hukum Allah. Oleh itu, kalau kedua-kedua kamu khuatir maka tidaklah berdosa tentang bayaran balik (tebus talaq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.”(Surah Al-Baqarah, 2:229)

Peringatan:

Walaupun isteri mempunyai hak untuk memohon fasakh dan khul‘, tetapi Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam menuntut agar ia tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:
Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga.(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad

>> 4) TA‘LIQ

Ta‘liq ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.

Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talaq engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talaq” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talaq” atau sebagainya.
Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talaq menurut hukum syara‘.

>> 5) LI‘AN

Li‘an berlaku apabila terjadinya qazaf iaitu suami menuduh isterinya berlaku zina atau menafikan anak yang dikandungkan oleh isterinya sebagai anak.
Li‘an ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya berzina tanpa mempunyai empat orang saksi kecuali dirinya sahaja, maka hendaklah dia bersumpah empat kali “bahawa dia adalah orang yang benar” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta”.
Sekiranya isteri menolak tuduhan tersebut, maka hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali “bahawa suaminya itu berdusta” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar”.
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Adapun orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada saksi (empat orang) kecuali hanya dirinya sahaja maka persaksian bagi orang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang benar. Dan sumpahan yang kelima bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Dan untuk menghindarkan seksa terhadap isteri yang tertuduh itu hendaklah si isteri bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan yang kelima hendaklah dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.”(Surah An-Nur, 24:6-9)

Baca Seterusnya- sila klik di sini

DI SEBALIK NAMA UMMU HANUNAH

Kalimah Ummu Hanunah yang bermaksud Ibu yang Penyayang diambil dari sebuah nasyid Arab yang mengisahkan penderitaan seorang wanita Palestin yang tidak sanggup lagi berpisah dengan anak-anaknya. Namun atas dasar Jihad di Jalan Allah, maka si anak ini merayu kepada ibunya agar merelakan pemergiannya ke medan jihad dan jangan menangis seandainya mereka gugur. Sama-samalah kita dengar dan hayati nasyid ini

Baca Seterusnya- sila klik di sini