Isnin, 3 Ogos 2009

PEMBUBARAN PERKAHWINAN

Terdapat beberapa jenis pembubaran perkahwinan di dalam Islam.
1. Talaq.
2. Fasakh.
3. Khul`
4. Ta`liq
5. Li`an

>> 1) TALAQ

Talaq dari segi bahasa bererti melepaskan ikatan.

Dari segi syara‘ ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz talaq atau seumpamanya.

DALIL HARUS TALAQ

Firman Allah subhanahu wata‘ala:

Maksudnya:
“Cerai (talaq) itu dua kali, selepas itu peganglah isteri kamu (ruju‘ dan kekallah) dengan cara yang baik atau lepaskanlah dengan cara yang baik.”
(Surah Al-Baqarah, 2:229)

Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anh yang bermaksud:

“Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah menceraikan isterinya Hafsah kemudian Baginda meruju`nya semula.”
(Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

HUKUM TALAQ

Hukum menjatuhkan talaq pada asalnya diharuskan dalam Islam, tetapi ia akan berubah menjadi:

1. Wajib: Setelah rumahtangga itu gagal diperbaiki dengan keputusan hakim atau suami telah bersumpah untuk menceraikan isterinya.

2. Haram: Menceraikan isteri semasa isteri di dalam waktu haidh atau ketika suci tetapi baru disetubuhi.

3. Sunat: Jika suami tidak dapat menyempurnakan nafkah batin.

4. Makruh: Boleh menjadi haram jika menceraikan isteri tanpa sebab yang munasabah.

Islam menetapkan hanya suami sahaja yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan talaq. Walaubagaimanapun, isteri juga diberikan hak untuk memohon cerai dengan cara fasakh atau khul‘ (tebus talaq).

PEMBAHAGIAN TALAQ

Talaq terbahagi kepada dua jenis iaitu:

1. Talaq raj‘i, iaitu talaq yang boleh diruju‘ kembali tanpa perlu akad nikah iaitu ketika isteri dalam waktu ‘iddah (sebelum tiga kali suci daripada haidh).

2. Talaq ba’in, ia terbahagi kepada dua:

a) Ba’in sughra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ oleh suami kecuali diadakan akad nikah semula iaitu perceraian sama ada melalui fasakh, khul‘ atau talaq isteri yang belum disetubuhi.

c) Ba’in kubra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ kembali dengan cara biasa melainkan setelah syarat berikut dipenuhi:
i. Setelah selesai ‘iddah si isteri.
ii. Bekas isteri berkahwin dengan suami lain.
iii. Suami lain menyetubuhi bekas isteri itu dan berlaku perceraian.
iv. Selesai ‘iddah dari suami yang lain itu.

>> 2) PENGERTIAN FASAKH


Fasakh ialah membatalkan atau melepaskan akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.

SEBAB FASAKH
Antara sebab yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh ialah:
1. Sebab yang merosakkan akad.
a) Isteri termasuk dalam golongan orang yang haram dikahwini sama ada sebab keturunan, susuan atau persemendaan atau bekas isteri yang dalam tempoh ‘iddah talaq suami pertamanya.
b) Pernikahan yang dilakukan semasa belum baligh (kecil) dan apabila baligh minta difasakhkan akad itu.
2. Sebab yang mendatang selepas pernikahan.
a) Salah seorang daripada suami atau isteri itu murtad.
b) Pasangan suami isteri bukan Islam semasa bernikah dan salah seorang memeluk Islam.
c) Suami telah melakukan salah satu perkara yang diharamkan sebab persemendaan seperti berzina dengan ibu mertua.

>> 3) KHUL‘ (TEBUS TALAQ)

Khul‘ dari segi bahasa bererti melepas atau menanggalkan.
Manakala dari segi syara‘ pula ialah perceraian daripada suami ke atas isteri dengan tebusan yang diterima oleh suami.
Contohnya suami berkata “Aku talaqkan kamu dengan bayaran sekian banyak” atau isteri berkata: “Aku menebus talaq ke atas diriku dengan bayaran sekian banyak”.

DALIL PENSYARI‘ATAN KHUL
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya: “Talaq (yang boleh diruju‘ kembali) hanya dua kali. Sesudah itu peganglah (ruju‘) atau lepaskan (cerai) dengan cara yang baik. Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri yang kamu ceraikan) kecuali jika keduanya takut tidak dapat menegakkan peraturan-peraturan hukum Allah. Oleh itu, kalau kedua-kedua kamu khuatir maka tidaklah berdosa tentang bayaran balik (tebus talaq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.”(Surah Al-Baqarah, 2:229)

Peringatan:

Walaupun isteri mempunyai hak untuk memohon fasakh dan khul‘, tetapi Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam menuntut agar ia tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:
Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga.(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad

>> 4) TA‘LIQ

Ta‘liq ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.

Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talaq engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talaq” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talaq” atau sebagainya.
Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talaq menurut hukum syara‘.

>> 5) LI‘AN

Li‘an berlaku apabila terjadinya qazaf iaitu suami menuduh isterinya berlaku zina atau menafikan anak yang dikandungkan oleh isterinya sebagai anak.
Li‘an ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya berzina tanpa mempunyai empat orang saksi kecuali dirinya sahaja, maka hendaklah dia bersumpah empat kali “bahawa dia adalah orang yang benar” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta”.
Sekiranya isteri menolak tuduhan tersebut, maka hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali “bahawa suaminya itu berdusta” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar”.
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Adapun orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada saksi (empat orang) kecuali hanya dirinya sahaja maka persaksian bagi orang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang benar. Dan sumpahan yang kelima bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Dan untuk menghindarkan seksa terhadap isteri yang tertuduh itu hendaklah si isteri bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan yang kelima hendaklah dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.”(Surah An-Nur, 24:6-9)

Tiada ulasan: